SERIBU BINTANG merupakan taruhan sulung duet mantap antara Adi 6ixthsense dan Denny Mojo. Keduanya ialah vokalis & gitaris hebat dalam band masing-masing. Lagu ini mendapat sentuhan composer Merah Biru yang merupakan nama pena Denny Mojo.

Masing-masing berpadu suara dalam lagu ini yang disifatkan mampu memikat halwa telinga para pendengar. Adi tetap unggul membuai rasa para pendengar melalui suaranya yang syahdu dan melancholy. Ia mampu menyentuh jiwa pendengar yang menikmati lagu ini. Adi sebelum ini terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya yang banyak menghiasi runut bunyi drama bersiri di televisyen dan antara yang paling diingati ialah “Muara Hati” duet nyanyian Dato’Sri Siti Nurhaliza bersama Hafiz Suip.

Manakala Denny memberi kesegaran rasa melalui sentuhan beliau dalam penghasilan lagu ini. Tak kurang hebatnya Denny juga pernah mencipta nama melalui lagu “Dari Jauh Saja” nyanyian Khai Bahar dan “Dahsyat” bersama band Mojo. Maka tak hairanlah gabungan keduanya menghasilkan kolaborasi mantap menerusi lagu ini. Kreativiti Denny menghasilkan lagu santai sebegini mampu memikat para pendengar yang baru pertama kali mendengar lagu ini.

Ia mampu memberi kesegaran dan ketenangan kepada para pendengar yang sedang bercinta terutamanya. Ia merupakan lagu dedikasi kepada sang kekasih dan harapan supaya pasangan mereka memahami isi hati mereka. Lagu ini juga memberi mesej positif supaya setiap percintaan disulami kemanisan dan boleh menaikkan semangat para pecinta. Apa yang penting ialah ia membawa kelainan dari segi susunan lagu yang santai dan tidak berat.

Lagu ini diterbitkan bersama oleh Adi 6ixthsense dan juga Denny Mojo.

Lagu ini pula akan menemui pendengar menerusi platform digital muzik seperti YouTube, Joox, Spotify, Itunes, Deezer, KKbox dan juga Apple Music pada 14hb Januari 2022.

5.68 K